Mahu labur RM500 tetapi ditipu RM15,700 - Utusan Malaysia

Mahu labur RM500 tetapi ditipu RM15,700

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan online yang tidak wujud, seorang kerani wanita di Kepala Batas dekat sini rugi kira-kira RM15,700.

Mangsa berusia 33 tahun itu dikatakan terjerat selepas melihat iklan kononnya daripada sebuah syarikat pelaburan ketika melayari aplikasi sosial Instagram baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tertarik dengan pakej pelaburan ditawarkan, mangsa kemudian menghubungi ejen syarikat tersebut menerusi telefon.

Tambah beliau, mangsa kemudiannya membuat ‘pelaburan’ sebanyak RM500 untuk memperoleh pulangan RM2,250 dalam masa sehari dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan ejen tersebut.

Katanya, mangsa bagaimanapun diminta membuat bayaran tambahan bagi pelbagai cukai selepas ejen itu mendakwa pulangan pelaburannya sentiasa bertambah setiap hari.

“Dia yang tidak menyedari taktik penipuan itu telah membuat tujuh transaksi memasukkan wang ke dalam tujuh akaun bank berlainan dalam tempoh beberapa hari.

“Dia telah membelanjakan wang berjumlah RM15,689.38 bagi tujuan itu sebelum menyedari menjadi mangsa penipuan ‘scammer‘ selepas ejen terbabit berterusan meminta wang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa yang telah kehabisan wang simpanannya itu kemudiannya membuat laporan polis semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN