KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini menolak rayuan bekas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos untuk membatalkan saman bekas Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok Suh Kim berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Suraya Othman yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan S. Nantha Balan memutuskan demikian melalui sidang mahkamah yang dijalankan melalui persidangan video Zoom.
Pada persidangan itu, Teresa diwakili peguam-peguam, Datuk S. N. Nair, Tan Han Sam dan Elyse Ng Zi Qian manakala Jamal diwakili peguam-peguam, V. Mugunathan dan Mohammad Fauzi Abdul Samad.
Menurut Nair ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, mahkamah memutuskan untuk menolak rayuan tersebut dengan kos RM7,000.
“Sehubungan itu, kes tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Tarikh perbicaraan akan ditetapkan sewaktu pengurusan kes pada 3 Januari depan,” katanya.
Pada 6 April 2017, Teresa memfailkan saman terhadap Jamal berhubung dakwaan Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang akhbar pada 8 Mac 2017.
Dalam penyataan tuntutan itu, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.
Ahli Parlimen Seputeh itu mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injuksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.
Pada 3 Januari lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Jamal untuk membatalkan saman itu selepas mendapati permohonan itu tidak mempunyai sebarang merit. -UTUSAN ONLINE