KEMAMAN: Banjir yang melanda Kampung Teladas, Air Putih di sini sejak pagi semalam digambarkan seperti tsunami kecil oleh kalangan penduduk berikutan limpahan air Sungai Teladas yang terlalu deras.
Banjir yang membawa lumpur itu turut menyebabkan perkampungan tersebut tenggelam dan yang kelihatan hanyalah bumbung rumah.
Seorang penduduk Nur Fatihah Kassim, 37, berkata, bencana kali ini merupakan yang terburuk pernah dilalui kerana berlaku dalam tempoh sangat pantas tanpa sempat menyelamatkan harta benda lain.
Katanya, dia hanya menyedari air sudah masuk ke rumah ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh dan walaupun berusaha mengangkat barangan ke tempat lebih tinggi bersama suaminya namun tetap dihanyutkan air.
“Saya hanya fikirkan nyawa keluarga sahaja dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan.
“Rumah kami hanya tinggal bumbung seolah-olah kampung ini seperti lautan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Seorang lagi penduduk, Anita Sulong, 50, terkejut melihat kediamannya dipenuhi air separas betis hanya kira-kira 30 minit keluar ke kedai berhampiran untuk membeli sarapan pagi.
“Memang cepat sangat air naik, malah sebuah kereta kami turut ditenggelami banjir,” katanya.
Bagi Zulaimi Awang, 37, tragedi kali ini diluar jangkaan penduduk memandangkan kelaziman banjir melanda pada pertengahan Disember.
Katanya, kejadian itu mengingatkan mereka kepada tragedi banjir terburuk yang pernah dilalui pada 2014 hingga menyebabkan kebanyakan penduduk kehilangan harta benda selepas kediaman mereka musnah.-UTUSAN ONLINE