M. Daud Kilau dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas - Utusan Malaysia

M. Daud Kilau dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas

KEADAAN M. Daud Kilau yang dirawat di Hospital Teluk Intan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau dikejarkan ke Hospital Teluk Intan di sini akibat sesak nafas.

Menurut anak lelaki penyanyi itu, Ahmad Zaini, bapanya dimasukkan ke hospital pada pukul 3.15 petang ini setelah mengadu sesak nafas sejak malam semalam.

Katanya, bapanya kini stabil namun dalam keadaan lemah.

Jelas beliau, bapanya mula mengadu sesak nafas kira-kira pukul 11.30 malam semalam.

“Saya membawanya ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk pada pukul 1 pagi tadi dan selepas itu membawanya semula pulang ke rumah.

“Melihatkan keadaannya yang semakin teruk, saya terus membawanya ke Hospital Teluk Intan petang tadi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di hospital, bapanya menjalani pemeriksaan dan rawatan di zon merah dan diberikan bantuan pernafasan menggunakan oksigen.

“Sehingga sekarang bapa masih dirawat, keadaannya stabil, boleh bercakap namun dalam keadaan keletihan,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi berusia 83 tahun itu pernah dikejarkan ke hospital beberapa kali akibat masalah kesihatan yang dialaminya.

Kesihatan penyanyi yang terkenal dengan lagu lagu ‘Cek Mek Molek’ dan ‘Gila Judi’ itu semakin merosot sejak beberapa tahun lalu kerana menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil.

Keadaan itu juga menyebabkannya mengambil keputusan tidak lagi membuat persembahan pentas.

Malah, sejak kebelakangan ini penyanyi itu lebih banyak berbaring di rumahnya di Sungai Balai Baru, Bagan Datuk. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya