PONTIAN: Kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) meraih majoriti sokongan untuk meluluskan Belanjawan 2021 membuktikan Ahli Parlimen negara ini meletakkan kepentingan umum melebihi kehendak parti.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu sekali gus menangkis tohmahan kononnya belanjawan itu tidak akan diluluskan kerana tidak mendapat sokongan.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, sehubungan itu pihaknya berharap belanjawan berkenaan akan dapat dilaksanakan dengan bijaksana.
“Walaupun sebelum ini kita dengar cakap-cakap yang mungkin (Belanjawan 2021) tidak akan lulus, tetapi Alhamdulillah wakil rakyat peringkat nasional meletakkan kepentingan rakyat melebihi yang lain.
“Ini adalah satu keputusan yang bijaksana dan semoga negara kita terus dilindungi daripada sebarang bentuk musibah,” katanya ketika berucap pada pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Johor Kali ke-43 di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, di sini hari ini.
Semalam, Belanjawan 2021 menyaksikan hanya 13 Ahli Parlimen berdiri bagi menyatakan undi belah bahagi menolak belanjawan berkenaan, kurang dua daripada jumlah sekurang-kurangnya 15 yang diperlukan.
Sementara itu, Hasni yang baharu membentangkan Belanjawan Johor 2021 semalam memberitahu pihaknya telah mendapat respons positif daripada pelbagai pihak.
“Saya cakap begitu kerana hari ini saya perlu gigih melibatkan belanjawan negeri yang mana kedudukannya hanya akan ditentukan pada 6 Disember ini.
“Jadi dalam tempoh seminggu ini, kita akan bahas dan lihat secara terperinci belanjawan yang dibentang semalam yang mana bajet defisit sebanyak RM248 juta,” ujarnya sambil memaklumkan perkara berkenaan merupakan yang pertama kali berlaku. -UTUSAN ONLINE