PORT DICKSON: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi akan terus beroperasi walaupun sebuah LRA baharu di Port Dickson akan dibina bagi membekalkan air terawat ke seluruh daerah ini serta sebahagian kawasan Nilai pada masa akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menambah, LRA baharu di Port Dickson itu sudah dikenal pasti lokasinya untuk dibina dan kini di peringkat proses menunggu tender sebelum ia diluluskan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“LRA Sungai Linggi akan tetap ada dan kerajaan negeri berharap dengan adanya LRA baru itu akan dapat menampung pertambahan permintaan bekalan air pada masa akan datang.
“Kami harap LRA itu boleh disegerakan pembinaannya bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi daerah Port Dickson dan sebahagian Nilai. Lokasi pembinaan sudah dikenal pasti dan menunggu ia untuk ditender dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) kepada pihak Bomba dan Operator Perhidmatan Air di Pejabat Operasi Sains dekat sini hari ini.
Sebelum ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebuah LRA baharu perlu dibina di kawasan Pengkalan Kempas dekat sini bagi menggantikan LRA Sungai Linggi yang sudah terlalu lama dan menelan kos yang tinggi untuk beroperasi.
Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau amat menghargai sumbangan dan bantuan pelbagai pihak ketika negeri ini khususnya di daerah Port Dickson dan sebahagian Seremban mengalami gangguan bekalan air baru-baru ini ekoran insiden tebing runtuh berhampiran LRA Sungai Linggi.
“Semalam kita sudah mula mendapat air terawat 100 peratus daripada LRA Sungai Linggi, saya ucapkan terima kasih kepada pihak Sains dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertungkus lumus memastikan masalah dapat diselesaikan dengan baik
“Saya rakamkan juga terima kasih kepada rakan-rakan strategik Sains dalam membantu dan memastikan bekalan air dapat sampai kepada pengguna khususnya di Port Dickson dan sebahagian Seremban,” katanya. – UTUSAN