ALOR SETAR : Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengesahkan kejadian limpahan air di Empangan Muda, Sik sejak 14 November lalu seperti yang ditularkan semalam.
MADA dalam satu kenyataan di sini hari ini menjelaskan, limpahan melalui alur limpah Empangan Muda merupakan kejadian yang biasa berlaku dan ia akan mengalir melalui Sungai Muda.
“Pihak MADA memantau dan memaklumkan status kedudukan limpahan air Empangan Muda dari semasa ke semasa kepada pihak Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) untuk memantau keadaan paras air di lembangan Sungai Muda.
“Berdasarkan rekod, sejak dari 1970 limpahan melalui alur limpah Empangan Muda berlaku sebanyak 26 kali dan terakhir Empangan Muda melimpah adalah pada awal Januari hingga Februari 2018,” katanya..
Sejak semalam, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp video berdurasi 33 saat mengenai pelepasan air didakwa berlaku di Empangan Pedu, Padang Terap mengakibatkan limpahan air luar biasa ekoran hujan lebat.
Mengulas lanjut katanya, kejadian limpahan air dari empangan adalah bertujuan melepaskan air lebihan dari kolam takungan yang tidak dapat ditampung dan akan mengalir melalui alur limpah secara berterusan atau berkala berdasarkan kapasiti penuh kolam takungan sesebuah empangan.
“Pihak MADA sentiasa membuat pemantauan dan akan memaklumkan kepada agensi yang berkepentingan sekiranya limpahan ini mencapai paras bahaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Tindakan Kecemasan Empangan-Empangan MADA.
“Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk kepada pemakluman agensi kerajaan dan tidak mempercayai sebaran berita palsu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pelepasan air empangan ke Sungai Muda penting bagi mengelak berlakunya limpahan lebih besar.
“Pelepasan air empangan dilakukan pada kadar selamat, walau bagaimanapun kita masih berjaga-jaga sekiranya berlaku hujan lebat berpanjangan,” katanya. -UTUSAN ONLINE