Lima jam pindah gajah liar di Felda Cherul - Utusan Malaysia

Lima jam pindah gajah liar di Felda Cherul

GAJAH jantan liar berusia 30 tahun dengan berat lebih dua tan berjaya dibawa naik ke atas lori sebelum dibawa ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil masa lebih lima jam memindahkan seekor gajah liar berusia 30 tahun di Ladang Kelapa Sawit Espek 6 di Felda Cherul, Hulu Kemaman di sini semalam.

Operasi memindahkan gajah jantan seberat lebih dua tan oleh 30 anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah di Pahang dan Perhilitan Terengganu itu turut berdepan pelbagai kesukaran termasuk jalan berlumpur dan berbukit.

Malah Ketua Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, usaha mereka membawa dua lori dengan muatan gajah denak iaitu Abot dan Rambai ke lokasi gajah liar ditangkap juga tidak dapat dilakukan.

“Kita terpaksa meminta bantuan pelbagai pihak termasuk pengurusan ladang bagi mendapatkan khidmat jengkaut untuk membina laluan khas bagi lori berkenaan.

“Walaupun berdepan pelbagai kesukaran akhirnya kita berjaya membawa gajah liar itu menaiki lori dengan menggunakan khidmat Abot dan Rambai sebagai pemikat,” katanya ketika ditemui di lokasi pemindahan gajah di sini.

Mohamad Khairul Adha berkata, gajah yang memusnahkan lebih 4,000 anak pokok kelapa sawit itu ditangkap 10 November lalu selepas menerima aduan pengurus ladang.

Menurutnya, haiwan liar itu akan dibawa ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah untuk dipantau sebelum dilepaskan semula di Taman Negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya