SHAH ALAM: Penduduk di lima daerah di negeri ini dinasihatkan bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar sekali lagi yang dijadualkan selama dua hari bermula Ahad ini.
Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor menerusi satu kenyataan memaklumkan fenomena paras air laut diramal akan berada pada paras tertinggi berdasarkan jadual pasang surut bagi Pelabuhan Klang.
Menurut kenyataan itu, paras air di pesisiran pantai sekitar Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam itu dijangka mencecah ketinggian 5.6 meter (m).
“Paras air dijangka mencecah 5.6m pada pukul 5.44 pagi Ahad ini, manakala paras sama juga diramal pada pukul 6.25 pagi Isnin.
“Sekiranya cuaca hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku, risiko kejadian banjir akan meningkat di lokasi yang berada berdekatan pantai,” kata kenyataan itu.
Oleh demikian, kenyataannya itu menjelaskan, kerajaan negeri telah mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan di semua daerah tersebut.
“Semua penduduk di lokasi berisiko diminta bersiap sedia dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Orang awam juga perlu mengehadkan aktiviti rekreasi air di persisiran pantai,” katanya.
Bagi daerah Sepang dan Kuala Langat, lokasi yang dikenalpasti berisiko antaranya pesisir Pantai Bagan Lalang, Kampung Tanjung Rhu, Pantai Kelanang, Ban Sijangkang dan pekan Tanjung Sepat.
Manakala, daerah Klang antaranya melibatkan Kampung Tok Muda, Pandamaran, Pelabuhan Utara dan Pulau Ketam.
Lokasi berisiko bagi Kuala Selangor dan Sabak Bernam pula seperti Bagan Pasir Penambang,
Pantai Remis-Pantai Indah, Bagan Tengkorak, Kampung Sungai Air Tawar, Bagan Sungai Besar dan Bagan Sekinchan.
Pada 17 Oktober lalu, fenomena air pasang besar yang melanda beberapa daerah di negeri ini berada dalam keadaan terkawal dan hanya menyebabkan limpahan kecil.
Limpahan itu bagaimanapun tidak menyebabkan banjir besar dan tiada pemindahan penduduk dilakukan.
Berdasarkan jadual Unit Pengurusan Bencana negeri, fenomena yang berlaku sejak 19 September lalu itu merangkumi beberapa fasa sab akan berakhir pada bulan ini.-UTUSAN ONLINE