Lepas hantar ikan, pulang bawa minyak diesel - Utusan Malaysia

Lepas hantar ikan, pulang bawa minyak diesel

ANGGOTA Polis Marin menunjukkan minyak diesel yang dirampas di Jeti Perikanan LKIM Kuala Perlis, Kangar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sindiket penyeludupan diesel menggunakan ruang bot ‘barter trade’ yang kosong selepas melakukan penghantaran hasil laut ke Malaysia bagi mengangkut bekalan diesel ke Thailand untuk dipasarkan dalam kalangan bot nelayan sekitar Satun di negara tersebut.

Bagaimanapun, taktik itu akhirnya dihidu pasukan Polis Marin, dalam intipan di Jeti Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis, semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintenden Rohizan Mohamad Saaid berkata, sebanyak 10 tong berisi 250 liter diesel yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan jeti terbabit ditemukan pada  intipan sejak awal pagi itu.

Katanya, harga diesel di Thailand yang jauh lebih mahal iaitu sekitar dua ke tiga kali ganda dari negara ini, menyebabkan berlakunya kegiatan penyeludupan.

“Sindiket melakukan kegiatan itu berulang-ulang kali dalam sehari, bergantung kepada jumlah bot yang masuk untuk menghantar bekalan ikan. Tindakan sindiket yang menggunakan khidmat tonto dipercayai menyebabkan kegiatan mereka sukar dikesan.

“Sindiket menggunakan ejen yang bertindak mengutip bekalan diesel dari stesen minyak di kawasan Kuala Perlis, untuk dikumpulkan kepada mereka setiap hari. Jumlah rampasan diesel dianggarkan bernilai RM500,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, kesemua barang rampasan dibawa ke Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Untuk rekod, polis Marin Kuala Perlis telah merampas 350 liter diesel dalam dua rampasan berasingan bulan lalu dan 400 liter diesel beberapa bulan sebelum itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN