Lelaki tikam isteri ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki tikam isteri ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam isterinya sehingga cedera dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Iboi, Kupang di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, suspek ditahan selepas bapa suspek membawa anaknya itu untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling pada pukul 10.30 malam semalam.

“Polis juga telah mendapat perintah tahanan reman terhadap lelaki itu selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, suspek berusia 33 tahun berasal dari Kupang di sini dipercayai menikam isterinya berusia 36 tahun pada perut sebelah kiri.

Kejadian dikatakan berlaku selepas suspek yang merupakan seorang penganggur marah dengan tindakan mangsa bekerja di sebuah kilang di Kulim dekat sini tanpa memberitahunya terlebih dahulu.

Mangsa ditikam sebanyak dua kali di tempat berbeza di perut sebelah kiri dengan kedalaman tikaman kira-kira tiga sentimeter kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dekat sini.

Syed Basri memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN