JOHOR BAHRU : Seorang pekerja bengkel terkejut setelah menemukan seekor ular sawa sepanjang enam meter berada pada bahagian depan enjin keretanya dalam satu kejadian di Kampung Batu 25, Pekan Nanas, Pontian semalam.
Kehadiran reptilia itu disedari pekerja bengkel berkenaan setelah ternampak ekor haiwan berkenaan ketika sedang menutup premis tersebut kira-kira pukul 10 malam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Zamani Md. Din berkata, pihaknya kemudian menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut.
Katanya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi tiba di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seekor ular sawa sepanjang enam meter berada di bahagian enjin kereta di kawasan bengkel kereta.
“Anggota bomba kemudian bertindak menangkap ular tersebut menggunakan seunit penjerut dan melepaskan jauh dari kawasan penempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamani berkata, operasi ditamatkan pada kira-kira 10.42 malam. -UTUSAN ONLINE