TAIPING: Lelaki sempat ‘melaram’ dengan kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic selama 20 minit yang dilarikannya dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini sebelum ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek melarikan MPV tersebut dari kawasan parkir IPD Taiping pada pukul 7:28 pagi.
Menurutnya, lelaki berkenaan datang ke IPD Taiping menaiki kereta jenis Ford Fiesta dan meninggalkan kenderaannya di kawasan parkir IPD tersebut sebelum melarikan sebuah MPV.
“Suspek berjaya ditahan dalam MPV yang dipandunya dalam sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Taiping Utara pada pukul 7.48 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE