Lebih sejuta peniaga mikro dibantu kerajaan - Utusan Malaysia

Lebih sejuta peniaga mikro dibantu kerajaan

WAN Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) bergambar selepas melancarkan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Tahun 2020 (HPPK2020) dan pelancaran platform WarongRider peringkat kebangsaan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih sejuta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara bakal didaftarkan mulai tahun depan dalam usaha membantu mereka mendapat pelbagai skim kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ramai kalangan golongan itu didapati takut mendaftarkan bisnes atas pelbagai alasan.

Ini jelasnya, melibatkan penjaja jalanan yang enggan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita difahamkan mereka bimbang kerana takut kena bayar cukai pendapatan atau tidak lagi layak dapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau Bantuan Sara Hidup (BSH),” katanya ketika merasmikan pra pelancaran sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2020 serta pelancaran Warong Rider peringkat kebangsaan di sini semalam.

Yang turut hadir Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Ramli Norani dan Ketua Pegawai Eksekutif Warong Rider, Mohd. Nazri Kamarulzaman.

Wan Junaidi berkata, hasil perbincangan dengan GPPPKMM, kelompok itu yang dianggap peniaga mikro sebenarnya membentuk majoriti besar piramid bawah penjaja.

“Kita akan bawa masalah kumpulan ini kepada pihak Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri agar isu golongan ini dapat diberi pertimbangan khas,” katanya.

Bagi menjayakan proses pendaftaran itu, Warong Rider akan mengumpul maklumat daripada penjaja terbabit apabila mereka menerima tempahan untuk penghantaran kepada pelanggan.

Katanya, GPPPKMM turut ada data mengenai kelompok penjaja dan berharap, apabila para peniaga itu didaftarkan, kerajaan boleh melaksanakan platform dompet tunai elektronik.

“Ini membolehkan pelanggan mudah beli secara maya selain peniaga mikro ini juga mendapat manfaat apabila jualan mereka boleh dipasarkan secara berterusan tanpa masalah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya