SEREMBAN: Dianggarkan lebih 500 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa daerah di Negeri Sembilan tengah malam tadi dengan majoritinya di daerah Seremban.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Fazlisyah Muslim berkata, di daerah Seremban sahaja, lebih 400 buah rumah terjejas iaitu di kawasan Rasah, Ampangan dan Rantau.
Menurutnya, banjir kilat tersebut berlaku ekoran kapasiti hujan yang turun yang sangat ketara di hulu Sungai Linggi iaitu di sekitar bandar Seremban sekali gus menyebabkan kawasan-kawasan yang berhampiran sungai mengalami banjir kilat yang serius.
“Berdasarkan laporan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hujan yang berlaku tengah malam tadi melebihi daripada 150 millimeter (mm) pertiga jam, itu adalah bacaan yang sangat tinggi yang biasanya boleh sebabkan banjir di kawasan yang rendah.
“Hujan berlaku di sekitar bandar Seremban iaitu di hulu Sungai Linggi yang kemudian menyebabkan kawasan-kawasan sekitar dan berhampiran Sungai Linggi mengalami banjir yang agak serius, terutama di tiga mukim yang utama daerah Seremban iaitu Rasah, Ampangan dan juga Rantau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau perjalanan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sega, Rantau di sini hari ini.
Ekoran hujan lebat selama lebih sejam bermula kira-kira pukul 12.45 pagi tadi, beberapa kawasan di daerah Seremban dinaiki air sekali gus menyebabkan banjir kilat.
Antara kawasan terlibat, Kampung Datuk Mansor, Taman Happy, Taman Blossom di Rasah, Kampung Baru Blok C di Ampangan, Taman Angsamas, Kampung Siliau, Kampung Kuala Sawah di Rantau dan Kampung Batu 3 di Mambau.
Sementara itu, menurut Fazlisyah, sebuah PPS telah dibuka di SK Sega, Rantau yang setakat pukul 3 petang ini telah menempatkan kira-kira 16 buah keluarga dan 77 mangsa yang terjejas.
“Kesemua mereka yang ditempatkan di sini merupakan penduduk sekitar seperti dari Kampung Sega Hilir, Kampung Pasir dan Kampung Linsum. Jumlah yang ditempatkan di sini mungkin juga meningkat, namun kebiasannya penduduk kampung akan pulang untuk membersihkan rumah apabila banjir sudah semakin surut tetapi setakat ini kami tidak benarkan mereka pulang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, selain Seremban, pihaknya turut menerima maklumat turut berlaku beberapa kejadian banjir kilat di daerah Rembau, Tampin dan Jelebu.
“Kami juga terima maklumat juga sudah berlaku kejadian banjir di Pasir Panjang, Port Dickson apabila air di hulu Sungai Linggi sudah mula turun dan menuju ke laut dan muara.
“Ini menyebabkan kawasan-kawasan di sebelah pantai mula dilimpahi air daripada Sungai Linggi, kami akan pantau keadaan ini sehingga ke lewat malam nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE