Lapan lelaki ditahan cetus provokasi - Utusan Malaysia

Lapan lelaki ditahan cetus provokasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Tindakan sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap yang bertindak melakukan provokasi dengan membakar mercun terhadap anggota kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Taman Serdang Jaya di sini mengundang padah apabila mereka diberkas.

Penahanan lapan lelaki berusia 27 hingga 53 tahun itu dilakukan bermula pukul 8.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, sepasukan MPV dikerahkan ke lokasi sebaik seorang warga emas mengadu lelaki bernama Vinoth membaling mercun sebelum serpihan tersebut terkena mata kiri pengadu pada Jumaat lalu.

Katanya, mangsa menegur suspek sebelum rakannya dikenali sebagai Saravanan bertindak membaling satu lagi mercun serta mengugut untuk memecahkan kepala mangsa berkenaan.

“Susulan itu, sekumpulan lelaki dikatakan sengaja membakar mercun papan berdekatan MPV serta mengejek anggota yang terperangkap dalam kepungan itu selama 30 minit.

“Anggota berkenaan memberi amaran menggunakan pembesar suara, namun suspek tidak peduli,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.

Razali memberitahu, tiada tindakan diambil ketika kejadian bagi mengelakkan berlaku kekecohan susulan kita percaya lelaki berkenaan berada dalam pengaruh alkohol.

“Susulan itu kita melakukan tangkapan semalam terhadap lapan lelaki, namun dua suspek utama iaitu Vinoth dan Saravanan masih diburu.

“Semakan lanjut mendapati, Vinoth mempunyai rekod lampau berkaitan kes culik manakala Saravanan membabitkan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah Razali, kesemua lapan suspek direman bagi membantu siasatan dan usaha mengesan dua suspek itu masih giat dijalankan.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat yang menunjukkan aksi sekumpulan lelaki melakukan provokasi dengan membakar mercun di hadapan anggota polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN