GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang merayu Kerajaan Pusat supaya melanjutkan diskaun bil elektrik sebanyak 15 peratus bagi enam sektor berkaitan pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, sektor itu termasuk pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.
Selain itu, tambah beliau, kerajaan negeri juga berharap Kerajaan Pusat dapat melanjutkan moratorium dan program subsidi upah kepada penggiat-penggiat industri pelancongan.
“Selain itu, kita juga berharap Kerajaan Pusat dapat mengecualikan pembayaran fi pembaharuan lesen dan lesen-lesen tambahan bagi pengusaha-pengusaha pelancongan serta pemandu pelancong sehingga Disember tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Soon Hin, beliau telah mengetengahkan mengenai cadangan itu menerusi surat kepada Kerajaan Pusat khususnya kepada kementerian-kementerian yang berkaitan.
Ujar beliau, cadangan itu juga dikemukakan selepas mendapati Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini kurang memberi manfaat kepada pemain industri pelancongan.
Tambah beliau, sempadan negara yang masih belum dibuka kepada pelancong antarabangsa ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang baru sahaja dilaksanakan mengakibatkan semua aktiviti pelancongan terpaksa dihentikan.
“Ini adalah cabaran yang amat besar untuk memulihkan industri pelancongan di negara ini.
“Kerajaan perlu membantu penggiat-penggiat industri pelancongan untuk meringankan bebanan kewangan mereka seterusnya tidak mengakibatkan pemberhentian pekerja yang terlibat dengan industri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE