SHAH ALAM: Pengagihan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 tergendala berikutan mengalami masalah sistem paip.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, sistem paip itu mengalami masalah di tempat-tempat tertentu kerana perlu melalui jajaran kawasan penduduk yang padat.
“Untuk fasa pertama, Langat 2 berjalan lancar dan tiada masalah, namun, bagi fasa seterusnya mengalami masalah pengagihan yang mana sistem paip tidak siap sekaligus menyebabkan air tidak dapat disalurkan ke tempat yang sepatutnya.
“Bagaimanapun, pemasangan paip air daripada LRA perlu disegerakan dan keseluruhan rawatan tiada masalah, tetapi, hanya berlaku kesukaran pengagihan air berikutan sistem paip,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri berhubung sumber air dan kerjasama di antara negeri jika berlaku krisis, Izham juga ADUN Pandan Indah berkata, Selangor mengambil sumber bekalan air mentah di beberapa negeri lain.
Katanya, sumber utama bekalan air di negeri ini diperoleh dari Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Semenyih dan Sungai Gombak.
“Namun, terdapat juga aliran sungai bersempadan antara negeri yang digunakan bagi tujuan bekalan air Selangor iaitu di Sungai Semantan (Pahang), Sungai Bernam (Perak) dan Sungai Labu (Negeri Sembilan).
“Malah, aliran sungai yang mengalir merentasi sempadan negeri pula ialah Sungai Pajam dan Sungai Buah yang juga merupakan anak Sungai Semenyih,” ujarnya.
Mengulas mengenai bantuan air dari negeri lain sekiranya Selangor mengalami krisis air, Izham berkata, operator air semua negeri menandatangani memorandum persefahaman untuk menghantar bantuan lori tangki.
“Kita mohon bantuan lori tangki dari seluruh negara, sampai dari Kelantan pun ada, lori bomba pun kita gunakan.
“Oleh demikian, adalah proses biasa sekiranya terdapat bantuan lori yang membawa air dan tertera macam-macam logo ketika krisis air berlaku,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE