PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan pelaksanaan saringan Covid-19 bagi mereka yang mahu keluar dari negeri yang dikategorikan Zon Merah seperti pelaksanaan kepada pengembara dari Sabah.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya melihat Sabah sebagai Zon Merah dan mewajibkan saringan namun tidak pula dilaksanakan perkara sama di semenanjung.
Katanya, melihat kepada beberapa kes di Selangor dan Negeri Sembilan yang mencatatkan kes positif yang tinggi dari Sabah, sepatutnya ujian saringan perlu dilakukan.
“Melalui perbincangan yang dilakukan, kita mungkin akan melihat kaedah yang diguna pakai untuk Sabah kerana Sabah adalah sebuah negeri, bukannya negara malah saringan dan kuarantin dikuatkuasakan apabila ada yang mahu keluar dari Sabah untuk ke Labuan, Sarawak ataupun semenanjung.
“Namun, di semenanjung membabitkan negeri yang mencatatkan kes tinggi, kita tidak laksanakan kuarantin maka kementerian sedang mempertimbangkan kaedah pelaksanaan termasuk tindakan kesihatan awam, saringan dan pemantauan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai kewajaran kilang-kilang yang berada di sekitar kawasan Kluster Teratai turut ditutup, Noor Hisham berkata, pihaknya melihat dari aspek yang lebih luas iaitu komuniti kawasan terbabit dan sehingga hari ini, tiada laporan jangkitan membabitkan komuniti sekitar itu.
“Kita mendapati jangkitan hanya berlaku kepada kontak rapat kerana kebanyakan pekerja asing yang duduk di Selangor dan Kuala Lumpur berjumpa keluarga mereka maka tiada jangkitan membabitkan komuniti kawasan terbabit.
“Bagaimanapun, kementerian menggalakkan majikan sekitar kawasan terbabit menjalankan saringan ke atas pekerja mereka malah turut menasihatkan mereka menjaga kebajikan dan kesihatan pekerja masing-masing,” katanya. UTUSAN ONLINE