KUBANG PASU: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas dipercayai terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam sebelum terkena tembakan.
Menurut sumber, anggota terbabit mengalami kecederaan ringan pada perut berikutan peluru yang dipercayai dilepaskan dari arah negara jiran terkena baju kalis pelurunya.
“Anggota tersebut kini telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dan sedang mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dilakukan.
“Maklumat lanjut berhubung kejadian itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Kejadian serangan ke atas anggota PGA itu adalah yang kedua selepas dua anggota PGA diserang di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar, Perlis, semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.10 pagi itu menyebabkan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, mengalami kecederaan parah.-UTUSAN ONLINE