KLANG: Pejabat dan kaunter perkhidmatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Klang ditutup hari ini untuk proses sanitasi dan disinfeksi.
KWSP dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook berkata, pejabat cawangan Klang akan dibuka semula esok bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.
“Ahli-ahli yang telah membuat janji temu untuk berurusan di cawangan KWSP Klang hari ini diminta untuk menjadualkan semula melalui saluran Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu).
“Sebarang kesulitan amat dikesali, namun kesihatan dan keselamatan ahli serta majikan yang hadir di cawangan KWSP setiap hari daripada pelbagai lokasi perlu menjadi keutamaan,” kata kenyataan itu di sini.
Tambah kenyataan itu, ahli-ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat beberapa individu datang ke pejabat cawangan tersebut tetapi terpaksa pulang susulan penutupannya. – UTUSAN