Kutip derma wakaf surau Maahad Tahfiz tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Kutip derma wakaf surau Maahad Tahfiz tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Lelaki warga emas berusia 63 tahun ditahan oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) kerana disyaki mengutip derma wakaf surau di sebuah maahad Tahfiz di negeri ini tanpa kebenaran di hadapan sebuah bank di pekan Jitra di sini semalam.

Lelaki yang berasal dari Perak dan menetap di Sungai Petani dekat sini dikatakan menggunakan surat kebenaran dikeluarkan oleh JAIK yang telah tamat tempoh.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan lelaki berkenaan dan terus ke lokasi untuk pemeriksaan pada pukul 3.45 petang.

“Berdasarkan siasatan, surat kebenaran berkenaan telah tamat pada 2018 yang lalu.

“Siasatan juga mendapati lelaki berkenaan agak lama membuat kutipan derma di lokasi tersebut, namun mula dicurigai orang awam setelah dokumen yang ditunjukkan agak meragukan.

“Lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan dan dibawa ke Pejabat Agama Kubang Pasu,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga turut merampas tabung, bangku, wang tunai RM33, resit kutipan, sijil wakaf dan lesen kutipan derma tamat tempoh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 69, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Kedah 2018 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN