Kumpulan IEEE UTeM harumkan nama Malaysia - Utusan Malaysia

Kumpulan IEEE UTeM harumkan nama Malaysia

EMPAR pelajar dari Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) Cawangan Universiti Teknikal Melaka (UTeM) yang berjaya meraih naib johan dalam Pertandingan Membina Laman Sesawang Pelajar Global IEEE 2020, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kumpulan Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) Cawangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul kedudukan naib johan dalam pertandingan Membina Laman Sesawang Pelajar Global IEEE 2020, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Komuniti Aktiviti Pelajar MGA IEEE itu bertujuan mendedah dan mempromosikan laman web pelajar yang mampu memberi maklumat mengenai aktiviti, teknologi terkini, peluang belajar dan faedah-faedah IEEE.

UTeM dalam satu kenyataan berkata, pertandingan itu merangkumi usaha kreativiti bagi memudahkan pelajar dalam cawangan IEEE memperoleh maklumat. 

“Pertandingan ini mendapat penyertaan lebih 25 pasukan dalam kalangan kumpulan mahasiswa institusi pengajian tinggi dari seluruh dunia melibatkan 10 kawasan wilayah masing-masing.   

“Kejayaan kumpulan IEEE Cawangan UTeM ini telah melayakkan mereka menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM2,000 bersama sijil penghargaan atas kemenangan tersebut,” katanya. 

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim turut meluahkan rasa bangga dengan perkembangan itu apabila pensyarah dan pelajarnya berjaya mengaplikasikan ilmu dan kepakaran di pentas antarabangsa.

Katanya, pencapaian itu menggambarkan bahawa UTeM terus menyemarakkan budaya pembelajaran efektif serta penyuntikan konsep kreativiti dan inovasi yang diserapkan dalam kalangan pelajarnya. 

“Saya berharap agar kumpulan pensyarah dan mahasiswa UTeM terus menyerlah jauh dalam pelbagai bidang lagi sekaligus menjulang nama universiti dan negara di pentas dunia,” katanya. 

Sementara itu Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTeM yang merupakan penyelia kumpulan IEEE Cawangan UTeM, Prof. Madya Dr. Chong Shin Horng berkata, pasukan itu mengambil masa sekurang-kurang dua bulan untuk membina laman sesawang IEEE Cawangan UTeM.

Jelasnya, proses itu bermula daripada peringkat permohonan seterusnya menambah, menyusun serta mengemas kini maklumat dalam laman sesawang, selain cabaran bagi memastikan laman sesawang menjadi lebih informatif serta menarik perhatian dunia.   

Shin Horng berkata, usaha keras itu berbaloi apabila  kesemua kriteria yang merangkumi enam kategori iaitu kandungan, kemampuan navigasi, keaslian, persembahan keseluruhan, kemudahalihan dan masa muat naik berjaya dipenuhi. 

Pasukan IEEE Cawangan UTeM dianggotai seramai empat orang pelajar masing-masing tiga pelajar dari Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik iaitu Woo Xiu Juan, Ng Chi Yuan dan Yeap Sheng Yi manakala seorang lagi adalah R. Vikneswaran yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuteraan Elektronik. 

Juara pertandingan itu dirangkul oleh mahasiswa dari Universiti Pueruana Cayetano Heredia, Peru manakala tempat ketiga dari Universidade do Porto, Portugal dan keempat UPIITA dari Mexico. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya