KUALA KRAU: Setahun lalu, kehidupan Tazulfakri Anuar, 49, dari Felda Jengka 23 di sini seperti insan normal lain yang bebas bergerak dan bekerja bagi menyara kehidupan keluarga.
Namun kini, nikmat berkenaan hilang sekelip mata apabila dia yang sebelum ini bekerja sebagai penebar roti canai tidak lagi boleh melakukan kerja berat dan perlu bergantung kepada kerusi roda.
Tazulfakri disahkan menghidap penyakit berkaitan komplikasi jangkitan kuman tanah atau meliodosis yang melemahkan sistem imun termasuk hati.
Dia mungkin dijangkiti kuman itu ketika berkebun di ladang bapa mentua di Felda Jengka 23 awal September tahun lalu.
“Kebetulan saya lambat mandi dan beberapa jam kemudian saya demam, sakit kepala, muntah dan lemah seluruh badan. Saya demam berpanjangan yang tidak sembuh-sembuh.
“Saya dihantar ke Hospital Jengka dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk pemeriksaan doktor pakar dan saya disahkan menghidap penyakit disebabkan bakteria kuman tanah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tazulfakri berkata, sejak menghidap penyakit itu, sumber pendapatan keluarganya terjejas termasuk perlu menanggung empat anak yang masih belajar.
“Sebelum ini punca pendapatan kami sederhana sahaja dengan saya berniaga kedai roti canai dan dibantu isteri, Rodziah Md. Salleh, 43.
“Sejak kejadian tidak disangka itu, pendapatan saya sifar manakala pendapatan isteri mengambil upah menjaga gerai jiran hanya cukup makan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Tazulfakri boleh menghubunginya di talian 0179136877. – UTUSAN