Kuala Terengganu rakyat paling subur di Malaysia - Utusan Malaysia

Kuala Terengganu rakyat paling subur di Malaysia

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan Perangkaan Penting Malaysia 2020 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menunjukkan Kuala Terengganu sebagai rakyat paling subur di negara ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daerah pentadbiran ibu negeri Terengganu itu merekodkan kadar kelahiran kasar tertinggi sepanjang tahun lepas.

“Ia mencatatkan 26.6 kelahiran bagi setiap seribu penduduk, manakala daerah Kinabatangan di Sabah pula merekodkan kadar paling rendah di Malaysia iaitu 3.5 kelahiran,” jelas beliau.

Laporan terbaharu yang dibentangkan itu mengandungi statistik data kelahiran dan kematian mengikut ciri-ciri demografi Malaysia, negeri dan daerah pentadbiran bagi tahun 2019 lalu.

Berdasarkan perangkaan itu, bilangan kelahiran hidup ialah 487,957, menurun 2.8 peratus berbanding 501,945 pada 2018 dan angka 2019 adalah paling rendah dalam tempoh sedekad.

“Sejumlah 7,862 bayi kembar dua dan 144 bayi pula kembar tiga,” kata Mohd. Uzir sambil merujuk laporan itu menjadi input utama penggubalan dasar perancangan program kerajaan.

Selari dengan penurunan kadar kelahiran itu jelas beliau, purata umur ibu bagi bayi hidup pertama juga naik 0.1 tahun daripada 27.8 tahun pada 2018 kepada 27.9 tahun pada 2019.

Kadar kesuburan pada tahun lalu namun masih kekal pada 1.8 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun iaitu di bawah paras penggantian yang sepatutnya iaitu 2.1 anak.

Sebelas negeri merekodkan kadar kesuburan di bawah 2.1 iaitu Perlis, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing 2.0, Melaka, Perak dan Labuan pula 1.8 serta Kuala Lumpur 1.7.

Ini diikuti Selangor dan Sarawak masing-masing 1.6, Sabah 1.4 dan paling rendah ialah Pulau Pinang 1.3. Trend itu juga selari negara maju seperti Australia, Britain dan Amerika Syarikat.

Mohd. Uzir menambah, jumlah kematian tahun lalu ialah 173,746 kematian iaitu peningkatan 1.0 peratus berbanding sebanyak 172,031 kematian direkodkan pada tahun sebelumnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN