PUTRAJAYA: Selepas merekodkan peningkatan kes Covid-19 baharu semalam, Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi iaitu 493 kes dengan 473 kes adalah daripada kluster-kluster di tempat kerja (tapak-tapak pembinaan).
Ia sekali gus mengatasi dua negeri yang sering berubah kedudukan teratas sejak beberapa minggu lalu iaitu Sabah, 290 kes dan Selangor, 238 kes.
Selain itu, sebanyak 116 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan dan tiga kes kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kes positif baharu pula, sebanyak 1,309 kes dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 64,485 kes.
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 11,481 kes.
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala 1,308 kes penularan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN