Kriteria permohonan logo Buatan Malaysia akan dinilai semula  - Utusan Malaysia

Kriteria permohonan logo Buatan Malaysia akan dinilai semula 

Rosol Wahid memegang logo Buatan Malaysia selepas mengadakan lawatan di Projek Fertigasi Tanaman Timun yang diusahakan Majlis Belia Hulu Terengganu di Kampung Sungai Ular, Hulu Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kerajaan akan menilai semula kriteria permohonan bagi mendapatkan logo Buatan Malaysia sekali gus menambah baik syarat sedia ada agar lebih ramai pemain industri dapat mengaplikasikan logo itu pada produk mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, menerusi langkah itu pihaknya akan memperluaskan klasifikasi produk yang ketika ini hanya membenarkan sebanyak 51 peratus bahan atau kandungan tempatan untuk mendapatkan logo tersebut.

Katanya, berdasarkan rekod sebanyak 1,236 permohonan pendaftaran logo Buatan Malaysia dicatatkan pada April 2019 hingga Oktober 2020 dengan jumlah stock keeping unit (SKU) yang dipohon untuk mendapatkan pelabelan logo Buatan Malaysia sebanyak 19,816.

“Daripada jumlah itu hanya 15,951 SKU telah diluluskan bagi penandaan logo Buatan Malaysia, bakinya tidak mendapat kelulusan disebabkan beberapa faktor termasuk gagal menepati syarat permohonan ditetapkan.

“Antaranya termasuk kegagalan mengesahkan produk yang dikilangkan di Malaysia dan mengandungi sekurang-kurangyan 51 peratus bahan atau kandungan tempatan di samping aspek pelabelan yang tidak memenuhi piawaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Projek Fertigasi Tanaman Timun di bawah Projek Ekonomi Majlis Belia Hulu Terengganu di Sungai Ular di sini, hari ini.

Rosol berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan syarikat atau perusahaan tempatan untuk memohon logo Buatan Malaysia bagi produk keluaran mereka.

Katanya, walaupun tiada sebarang bayaran dikenakan bagi penandaan logo tersebut, namun pemain industri terlibat masih lagi tertakluk serta perlu tetap mematuhi undang-undang dan peraturan terpakai. 

“Penandaan logo Buatan Malaysia dapat membuka mata pengguna untuk menyokong dan membeli produk tempatan yang dijamin berkualiti, selamat sekali gus menghapuskan persepsi segelintir pengguna yang mengagungkan barangan luar negara.

“Produk yang mempunyai logo buatan Malaysia bukan sahaja dapat menyakinkan pengguna, malah menggalakkan pembelian sekali gus membantu menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilaksanakan kementerian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya