KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN), Menteri Dalam Negeri dan dua lagi untuk memasukkan memorandum kehadiran dalam kes saman ibu model Belanda, Ivana Esther Robert Smit terhadap mereka.
Menurut peguam, Datuk Sankara Nair ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp berkata, perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Pendaftar, Maslinda Selamat sewaktu pengurusan kes terbabit melalui e-review.
Memorandum kehadiran adalah dokumen menunjukkan bahawa sesuatu pihak mengambil maklum tindakan saman terhadap mereka dan akan membuat pembelaan terhadap saman itu.
“Pihak defendan perlu memasukkan kehadiran masing-masing sebelum 9 Disember ini. Mahkamah turut menetapkan 23 Disember untuk pengurusan kes,” katanya.
Pada 20 November lalu, ibu model itu, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, 56, memfailkan saman terhadap KPN, Menteri, pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Faizal Abdullah dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat atas dakwaan gagal menyiasat semula kes kematian remaja itu.
Ivana maut terjatuh dari sebuah unit Kondominium CapSquare Residences di Dang Wangi, awal Disember tiga tahun lalu dan ditemui dalam keadaan bogel. Remaja berusia 19 tahun itu dikatakan keluar berhibur dengan pasangan, Alexander William Johnson dan Lunara Almazkyzy di sebuah kelab malam sebelum menemui ajalnya.
Menurut pernyataan tuntutan Verstappen, dia tidak dapat menerima dapatan defendan-defendan termasuk pegawai penyiasat pertama Sarjan Haliza menutup kes kematian anaknya sebagai `kematian atas sebab semula jadi atau bunuh diri’.
Ujarnya, defendan-defendan membuat keputusan tersebut dengan tergesa-gesa tanpa membuat siasatan menyeluruh dan mengambil kira laporan bedah siasat, kimia dan sebagainya selain melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik penyiasatan polis.
Ekoran tidak puas hati, satu inkues kematian Ivana diadakan di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bermula pada 8 Ogos 2018 dengan 22 orang saksi telah dipanggil memberi ketengan.
Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana adalah disebabkan misadventure (kematian akibat nahas) dan tiada sebarang perbuatan jenayah membabitkan kes itu.
Bagaimanapun pada 22 November, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan koroner itu dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mengarahkan pihak polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya menyatakan kematian model itu adalah disebabkan oleh ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali’ dan tidak ada penyiasatan yang mencukupi dijalankan oleh pihak berkuasa.
Verstappen mendakwa pasukan penyiasat yang 27 November 2019 itu malas dan berhibernasi walaupun pihak berkuasa Belanda telah memberi peringatan mengenai siasatan itu.
Hanya selepas didesak beberapa kali, sekitar Oktober 2020, barulah defendan kedua meminta salinan laporan-laporan bedah siasat, gambar tempat kejadian dan lain-lain dokumen berkaitan kes itu daripada Pejabat Pendakwa Belanda dan Polis Belanda sedangkan dokumen-dokumen itu sepatutnya berada dalam salinan Faizal.
Verstappen mendakwa tindakan itu menunjukkan sikap defendan-defendan yang tidak bertanggung jawab, memusnahkan harapan keluarga mangsa dan telah gagal menjalankan tanggung jawab statutori.
Oleh itu, plaintif memohon kesemua defendan membayar ganti rugi am, teruk dan teladan kerana pelanggaran tanggung jawab statutori, kecuaian dan misfeasens.
Wanita itu juga memohon deklarasi kesemua defendan gagal melaksanakan tanggung jawab mereka sekaligus menghina mahkamah kerana tidak melaksanakan arahan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bertarikh 22 November tahun lalu.
Verstappen turut memohon perintah mandamus (memaksa) defendan pertama untuk mengeluarkan Faizal daripada pasukan siasatan dan menubuhkan pasukan baharu bagi memulakan kembali penyiasatan berhubung kematian anaknya.
Plaintif juga memohon perintah agak PDRM melaporkan perkembangan semasa siasatan dari semasa ke semasa kepada mahkamah, ibu mangsa atau peguam yang mewakili Verstappen.
Verstappen turut memohon perintah mandamus agar PDRM dan KDN mengeluarkan waran tangkap terhadap Jonhson dan Almazkyzy serta perintah ekstradisi terhadap kedua-dua individu terbabit untuk dibawa semula ke negara ini untuk membantu siasatan dan kekal sehingga kes selesai. -UTUSAN ONLINE