KUALA LANGAT: Tindakan dua individu yang sedang leka memunggah minyak masak bersubsidi ke dalam tangki tergendala apabila dikejutkan dengan kehadiran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah stor di Telok Panglima Garang, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh merupakan penjaga stor berusia 35 dan 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan dilakukan adalah sebahagian daripada operasi membanteras penyelewengan barangan bersubsidi di bawah Ops Goreng.
Menurutnya, risikan selama dua minggu pihaknya mendapati wujudnya kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi di stor haram tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebuah treler yang mempunyai muatan minyak masak bersubsidi berjumlah 3,000 kilogram (kg). Turut ditemukan tangki berisi minyak masak bersubsidi berjumlah 12,000 kg, peralatan untuk aktiviti memotong dan mengasingkan minyak masak satu kg seperti pisau, gunting, saluran paip dan mesin pam.
“Kita turut menemukan 5,000 keping sisa plastik minyak masak sekilogram di stor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya lagi, hasil siasatan mendapati stor tersebut sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan bekalan minyak itu untuk pasaran tempatan dan juga luar negara.
“Keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM240,470 membabitkan RM40,000 minyak masak bersubsidi dan selebihnya melibatkan rampasan kenderaan dan peralatan pemindahan minyak masak bersubsidi.
“Setakat ini, kita sedang menjalankan siasatan bagi mengesan pemilik atau penyewa premis dan juga pembekal minyak masak bersubsidi tersebut untuk dituduh di mahkamah,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barangan kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan. -UTUSAN ONLINE