KPDNHEP Selangor tingkat pemantauan, elak manipulasi harga - Utusan Malaysia

KPDNHEP Selangor tingkat pemantauan, elak manipulasi harga

Anggota penguatkuasa KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga barangan keperluan di premis perniagaan susulan lanjutan tempoh PKPB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri meningkatkan pemantauan bagi memastikan tiada peniaga sengaja memanipulasi harga sehingga membebankan pengguna.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya giat menjalankan pemeriksaan ke atas bekalan barangan keperluan dengan menggerakkan 200 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga di seluruh daerah.

Menurutnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya telah memeriksa sebanyak 8,900 premis perniagaan yang meliputi pemborong, pembekal, pasar raya, kedai runcit dan pasar awam.

“Sehingga semalam, kita menerima sebanyak 6,526 aduan pengguna tetapi telah menyelesaikan 2,061 kes berkaitan harga barangan dan 127 isu barang keperluan asas termasuk memberi amaran dan tindakan kompaun.

“Kita ingin menasihatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga melampau dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril berkata, pemantauan pihaknya juga mendapati tiada pembelian panik berlaku di Selangor susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember depan.

Katanya, anggota penguat kuasa akan memfokuskan sama ada berlaku pembelian panik susulan situasi semasa terutama melibatkan barangan asas seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah.

“Rata-rata peniaga memaklumkan tiada pembelian panik berlaku di premis mereka dan peningkatan jualan adalah biasa terutama ketika cuti hujung minggu.

“Selain itu, kita mendapati pengguna berbelanja seperti biasa dan tiada pembelian berlebihan dibuat walaupun tempoh PKPB akan bersambung bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Pengguna dinasihatkan supaya membuat pembelian dengan berhemah dan dalam kuantiti yang wajar bagi keperluan semasa mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan pada setiap hari bagi memastikan keperluan barangan makanan tidak terganggu sepanjang tempoh PKPB.

Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat mengenai kekurangan bekalan keperluan atau manipulasi harga oleh peniaga diminta menghubungi talian Hotline 1-800-886-800 atau 03-88826088 di Enforcement Command Centre (ECC) dan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya