KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memberi jaminan bekalan makanan di negeri ini mencukupi sepanjang musim tengkujuh dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengarahnya, Adnan Abd. Rahman berkata, pemborong dan peruncit barang kawalan serta keperluan harian telah dilantik sebagai pemegang stok mini bagi menghadapi musim tengkujuh.
Menurutnya, KPDNHEP Kelantan juga akan memastikan barangan dijual pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan, lebih-lebih ketika orang ramai diuji dengan pandemik Covid-19 dan PKPB.
“Kita turut menjalinkan kerjasama dengan pengeluar, pemborong, pengimport, persatuan dan agensi kerajaan.
“Tujuannya kita mahu memastikan semua yang dirancang berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adnan memberitahu, sepanjang musim tengkujuh KPDNHEP Kelantan telah mengaktifkan bilik gerakan untuk sebarang aduan berkait dengan isu bekalan makanan di negeri ini.
Katanya, orang ramai digalakkan untuk segera membuat laporan jika berlaku sebarang kenaikan harga barangan kawalan.
Adnan berkata, pihaknya sentiasa mempergiatkan pemeriksaan harian dan memantau kedudukan bekalan barang kawalan supaya sentiasa cukup di peringkat pemborong serta peruncit.
“Pengguna tidak perlu resah dengan membuat pembelian secara banyak atau berlebihan kerana bekalan barang kawalan dan keperluan asas sentiasa mencukupi.
“Peniaga juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan masing-masing atas pelbagai alasan serta mematuhi perundangan ditetapkan kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN