KPDNHEP jamin bekalan cukup sepanjang PKPB - Utusan Malaysia

KPDNHEP jamin bekalan cukup sepanjang PKPB

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas masih mencukupi di pasaran.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Semenanjung; kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan, selama empat minggu yang bermula esoki.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi kenyataan berkata, KPDNHEP turut mengerahkan 2,267 penguat kuasa bagi melaksanakan operasi pemantauan seluruh negara.

“Mereka bersama 1,031 pegawai pemantau harga di 72 pejabat cawangan KPDNHEP akan memastikan bekalan khususnya bahan makanan cukup menampung keperluan,” jelas beliau.

Ujarnya, seperti Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga akhir tahun, sebanyak 12 barang keperluan harian pengguna dipantau Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP.

Produk itu tambah beliau, merangkumi gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, pensanitasi tangan dan pelitup muka.

Malah kata Alexander, pemantauan meliputi 2,711 peruncit terpilih daerah, 1,039 pemborong daerah dan 198 pengilang terpilih daerah yang melibatkan 222 Parlimen serta 587 DUN.

“Justeru, tiada keperluan untuk orang ramai melakukan pembelian panik di premis runcit dan bertindak menyimpan stok barangan secara berlebihan di dalam rumah,” tegas beliau lagi.

Walau bagaimanapun, sebagai persediaan menghadapi bencana banjir di negeri tertentu yang bakal terjejas pada musim tengkujuh, KPDNHEP turut melakukan pemantauan harian.

Ini bagi memastikan keberadaan bekalan makanan dan barang keperluan asas sentiasa mencukupi dan dapat diperoleh para pengguna pada harga yang agak munasabah.

Sejumlah 473,899 premis perniagaan telah diperiksa anggota penguat kuasaan sepanjang PKPP demi memastikan pematuhan semua undang-undang dikuat kuasakan oleh KPDNHEP.

 “Ini merangkumi pelbagai jenis perniagaan seperti kedai runcit, pasar raya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan dan premis-premis lain,” kata beliau.

Alexander berkata, hasil pemeriksaan itu, 4,673 kes sudah dikenakan tindakan mengikut pelbagai akta dan membabitkan nilai rampasan yang berjumlah RM60,657,836.

Kes tertinggi adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan 2,477 kes diikuti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (1,306 kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (381).

Secara keseluruhan jelasnya, tiada pembelian panik malah keadaan adalah normal di premis runcit, manakala bekalan di peringkat pemborong dan pengilang masih cukup serta stabil.

“KPDNHEP menasihatkan pengguna agar tidak bimbang kerana keperluan harian dijamin ada dan pemantauan dilakukan setiap hari selain premis beroperasi seperti biasa,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya memastikan barangan jualan diletakkan tanda harga yang jelas bagi memudahkan pengguna dapat maklumat dan merancang perbelanjaan.  

 Pihaknya kata beliau, sentiasa memandang serius isu peniaga cuba mengambil kesempatan aktiviti mencatut kerana tindakan tegas akan diambil semasa situasi pandemik pada ketika ini.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya