BATU PAHAT : Buat pertama kali, Istiadat Perisytiharan Penganugerahan Ijazah Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada hari ini diadakan secara maya.
Majlis yang berlangsung secara norma baharu itu susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini.
Perisytiharan penganugerahan dibuat oleh Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr. Wahid Razzaly merangkumi Ijazah doktor falsafah (117), sarjana (252), sarjana muda (2831) dan diploma (801).
Namun majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, Kampus Utama UTHM di sini hanya membabitkan penganugerahan ijazah kehormat, Anugerah Sultan Ibrahim dan Anugerah Diraja.
Perisytiharan disiarkan secara siaran langsung di media sosial rasmi universiti ini secara simboliknya menandakan graduan UTHM telah dianugerahkan dengan sijil akademik masing-masing.
Dalam pada itu, Wahid dalam ucapannya berkata, para graduan perlu kompeten untuk bersaing dengan menawarkan kebolehan yang pelbagai dan mempunyai daya keusahawanan yang tinggi.
Beliau juga berpesan kepada graduan untuk menonjolkan keunikan kepakaran bidang sebagai nilai tambah untuk dipilih sebagai pekerja kelak.
“Oleh itu persiapkanlah diri dengan ilmu, kepakaran dan profesionalisme serta kemahiran insaniah yang tinggi untuk menerajui pembangunan negara dengan penuh amanah dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan Gading Kencana Datuk Muhamad Guntor Mansor Tobeng menerima Anugerah Ijazah Kehormat UTHM.
Turut menerima anugerah dalam istiadat tersebut, penerima Anugerah Sultan Ibrahim iaitu Mek Zi Chong, 24, iaitu graduan ijazah sarjana muda daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Selain itu, Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada graduan sarjana muda Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Amir Nurharis Abd Ghani, 24, serta graduan sarjana muda daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Pang Chun Khai, 24.
Bagaimanapun, Majlis Penyampaian Skrol sempena Konvokesyen ke-20 UTHM ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
Dengan berlangsungnya istiadat pengisytiharan ini, maka jumlah graduan UTHM sehingga tahun 2020 telah mencecah seramai 52,130 orang.- UTUSAN ONLINE