Kontraktor ubah suai rumah, kerja sampingan pecah rumah

Kontraktor ubah suai rumah, kerja sampingan pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Dua lelaki bukan sahaja bekerja di syarikat pengubahsuaian rumah malah juga didapati terlibat dalam jenayah samun dan pecah rumah di satu kawasan perumahan di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua suspek berkenaan didapati melakukan kerja pengubahsuaian di kawasan kediaman itu sejak sebulan lalu.

Katanya, kegiatan kedua-dua suspek terbongkar selepas pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian pecah rumah daripada seorang mangsa di lokasi berkenaan kelmarin.

“Bertindak atas maklumat tersebut, polis terus melakukan siasatan dan berjaya mengesan perbuatan kedua-dua suspek itu. Polis kemudian menahan mereka di kawasan Ulu Tiram semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, polis turut merampas kenderaan dan barangan antaranya sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, satu kipas siling, satu unit drill, 12 unit lampu siling, empat tong cat, dua sinki dan satu penyedut asap.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya lanjut.

Sementara itu, Dzulkhairi turut memberitahu, kejayaan pihaknya menangkap dua lelaki warga Bangladesh terlibat dalam jenayah penyeludupan arak dan rokok di kawasan Nusa Bestari, September lalu.

Katanya, suspek yang ditahan berusia 34 dan 30 tahun dan bertugas sebagai penjaga di kediaman berkenaan.

“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 153 karton rokok pelbagai jenama, 18 kotak minuman keras jenama 3 Horse, 17 kotak minuman keras jenama Mcdowell, lima karton minuman keras jenama Crazy Rhino dan satu karton minuman keras jenama Heineken.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN