Kluster Kiambang ‘serang’ Johor - Utusan Malaysia

Kluster Kiambang ‘serang’ Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor merekodkan tujuh kluster kes Covid-19 yang masih aktif di negeri ini dengan pertambahan kluster baharu, Kluster Kiambang yang dikesan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, Kluster Kiambang ini melibatkan kes yang dicatatkan di daerah Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Katanya, kes indeks kluster ini yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada Isnin lalu.

“Susulan itu, pengesanan dan saringan kontak telah dijalankan. Sehingga semalam, seramai 131 individu telah disaring, sembilan daripadanya telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini. 

“Kesemua sembilan yang positif itu telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, selain Kluster Kiambang, kluster lain yang masih aktif di negeri ini adalah Kluster Parit Kassan, Kluster Jeri, Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang.

Semalam, terdapat 15 kes baharu dengan tiga kes daripadanya saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan satu kes daripada lain-lain kes saringan selain merekodkan satu kematian yang dilaporkan di negeri ini.

“Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 1,034 kes dengan 22 kematian. 

“Sebanyak 919 kes telah pulih manakala 93 kes lagi yang aktif dan telah pun diasingkan dan diberi rawatan di hospital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN