Kilang berlesen punca pencemaran - Utusan Malaysia

Kilang berlesen punca pencemaran

HEE LOY SIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri gagal mengemukakan jumlah kilang haram yang terlibat dalam proses pemutihan bagi mengekang aktiviti pencemaran sungai. 

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan,Alam Sekitar & Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian hanya memaklumkan bahawa pencemaran yang berlaku adalah berpunca daripada kilang berlesen dan bukannya kilang haram.

Ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail, Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mempunyai senarai lengkap jumlah kilang haram yang terlibat dalam pemutihan bagaimanapun gagal mendedahkannya. 

“LUAS ada senarai lengkap dan sepanjang sungai 50 meter telah digazetkan dan tiada penempatan kilang yang dibenarkan beroperasi. 

“Kita juga telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan sekiranya wujud kilang haram di sepanjang sungai berkenaan. 

“Sekarang kita tiada masalah dengan kilang haram tetapi yang memberi masalah kepada pencemaran ialah kilang berdaftar dan berlesen. Orang ramai mempunyai tanggapan yang silap dengan menuduh kilang haram yang membuat pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawan soalan tambahan Rizam yang juga merupakan Ketua Pembangkang berkaitan jumlah kilang haram yang telah diputihkan dan cadangan mengazetkan sungai-sungai yang membekalkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) dijadikan kawasan larangan.

Tambahnya, pihaknya telah mengeluarkan arahan agar kilang haram ditutup sebelum pencemaran berlaku.

“Usaha yang diambil berjaya cuma bagaimana kita nak mengawal kilang sedia ada yang berlesen dan berdaftar kerana mereka perlu patuh bila melepaskan sisa ke sistem saliran, mereka kena ikut kawalan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

“JAS sentiasa mengawal dan memeriksa sentiasa kilang sedia termasuk membuat kawalan dan rondaan setiap hari dalam tempoh 24 jam di lembangan sungai,” ujarnya. 

Terdahulu, Loy Sian yang merupakan ADUN Kajang memaklumkan dalam tempoh tiga tahun bermula 2017 hingga kini sebanyak lapan syarikat yang terlibat dengan pencemaran sungai telah dikenakan tindakan undang-undang. 

Jelasnya, empat syarikat telah dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam pencemaran Loji Rawatan Air Semenyih manakala selebihnya melibatkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor dan lain-lain. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN