KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga remaja berusia 19 tahun yang mati dibunuh di Kampung Lubuk Batu di Kuala Telemong, Hulu Terengganu, Ahad lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, selain keluarga mangsa, bimbingan kaunseling itu akan turut disediakan buat waris suspek utama kes pembunuhan tersebut.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan moral kepada keluarga Ismail Muda, 58, yang masih terkesan dengan kejadian menimpa anak, tersayang, Siti Nor Surya.
“Bapa di samping adik-beradik mangsa masih trauma dengan tragedi itu dan pihak JKM akan segera berbincang bila untuk memanggil keluarga bagi sesi kaunseling tersebut.
“Wakil JKM juga akan menemui keluarga suspek bagi memberikan kaunseling kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Siti Nor Surya di Kampung Beladau Selat di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh.
Terdahulu, Hanafiah turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Siti Nor Surya.
Sementara itu, Ismail berkata, isterinya, Zaini Musa, 55, masih mencari-cari Allahyarham anak kelima mereka yang mesra dipanggil kakak.
“Semalam dia tanya, kakak mana dan walaupun kita beritahu Siti sudah tiada sebab demam dia masih tidak faham.
“Sekiranya kesihatan isteri saya pulih dengan kuasa Allah mungkin kami sekeluarga akan berterus-terang tentang punca kematian kakak,” katanya.- UTUSAN ONLINE