Khayal dadah, tak sedar kemaluan dicederakan - Utusan Malaysia

Khayal dadah, tak sedar kemaluan dicederakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Akibat terlalu khayal mengambil dadah, seorang lelaki berusia 47 tahun di sini tidak menyedari kemaluannya dicederakan sehingga berdarah oleh seorang wanita yang juga kenalannya berusia 38 tahun.

Kejadian itu berlaku di sebuah pejabat di Bandar Baru Farlim dekat sini semalam selepas kedua-dua mereka yang merupakan kenalan rapat menghisap dadah sehingga mangsa tertidur.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Suffian Santong, ketika terjaga kira-kira pukul 6.30 pagi semalam, mangsa yang merupakan penganggur itu mendapati kemaluannya berdarah manakala rakan wanitanya itu menghilangkan diri.

“Mangsa mengalami kecederaan luka hirisan pada bahagian kemaluan yang tidak serius dan disyaki dicederakan dengan objek tajam dan kini dirawat di hospital.

“Mangsa juga mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Suffian, bertindak daripada laporan ekoran kejadian itu, polis menahan suspek yang masih bujang kira-kira pukul 9 pagi semalam di Paya Terubong, Ayer Itam dekat sini.

Katanya, beberapa barang kes turut dirampas dari tempat kejadian antaranya sebilah gunting yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

“Kes dan motif kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN