PUTRAJAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mempertikai tuduhan yang dilemparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew membabitkan vaksin Covid-19.
Beliau berkata, tuduhan yang dibuat dilihat tidak tepat dan salah yang memerlukan jawapan bagi menjawab semua kenyataan terbabit.
“Vaksin mRNA adalah molekul yang diperbuat daripada genom yang membolehkan sistem imun badan melawan Covid-19 melalui penghasilan protein sekali gus menghasilkan antibodi dan tidak menjejaskan DNA badan seseorang itu.
Berkaitan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu agensi agama terbabit dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) malah Menteri di Jabatan Agama Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudah menjelaskan Majlis Fatwa Kebangsaan sedang meneliti perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai isu siapakah yang akan membayar vaksin itu, Khairy berkata, sekiranya Ronnie meneliti kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ronnie akan mendapati kerajaan akan menampung program vaksin dengan sasaran 70 peratus rakyat Malaysia.
“Malah kerajaan juga sudah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM 3 billion bagi menjayakan program vaksin kepada rakyat. Saya juga ingin memaklumkan bahawa kos satu dos vaksin terbabit dijamin kurang daripada RM100 satu dos.
“Kerajaan sudah melakukan perbincangan dengan pengeluar vaksin terbabit sejak April 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy berkata berapa langkah sudah dipertimbangkan dan perbincangan masih diteruskan termasuk dengan pengeluar dari China termasuk pengeluar yang dipertahankan Ronnie.
“Saya ingin tegaskan vaksin terbabit perlu dijamin selamat dan didaftarkan dengan pihak berkuasa perubatan di bawah Kementerian Kesihatan,” katanya.
Tambahnya, pengurusan penghantaran vaksin terbabit akan diuruskan Pfizer, malah peti ais pada suhu yang bersesuaian banyak di universiti dan institut penyelidikan di seluruh negara.
“Pfizer juga memaklumkan vaksin terbabit stabil berada pada suhu dua hingga lapan darjah selsius (C) dalam tempoh lima hari.
“Kita tidak akan menerima 12.8 juta dos sekali gus tetapi ia akan dihantar secara berperingkat dan semua ini membolehkan perancangan dapat dilakukan dengan baik,” katanya.
Berhubung persoalan kenapa saya terbabit dengan urusan berkaitan vaksin terbabit, Khairy berkata, beliau adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Kementerian saya turut terbabit dengan perbincangan berkaitan vaksin berkenaan kerana berkaitan portfolio bioteknologi,” katanya.- UTUSAN ONLINE