DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi bantuan kit banjir kepada penduduk di wilayah itu
Pengurus Besarnya, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, kit yang mengandungi barangan keperluan seperti peralatan mandi, tuala di samping biskut dan mi segera bernilai RM100 itu diedarkan sebaik sahaja mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kit ini diberikan kepada setiap keluarga sebagai bantuan awal manakala bagi makanan dan keperluan lain diuruskan pihak pengurusan banjir.
“Pada hari ini sebanyak 150 kit banjir diedarkan kepada penduduk wilayah Ketengah yang terjejas iaitu di Hulu Dungun dan Hulu Kemaman,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS dewan orang ramai Kampung Pasir Raja di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir Raja, Tengku Mat Yunus Tengku Mat Rani berterima kasih atas keprihatinan pihak Ketengah memberikan bantuan awal.
Katanya, kit itu sangat diperlukan mangsa banjir kerana ada dalam kalangan penduduk yang tidak sempat membawa barangan tersebut ke PPS. -UTUSAN ONLINE