Ketabahan P. Santhi jaga 3 anak OKU, suami lumpuh - Utusan Malaysia

Ketabahan P. Santhi jaga 3 anak OKU, suami lumpuh

P. Santhi (tiga dari kiri) dan suami, S. Subramaniam bersama tiga anak OKU mereka dari kiri, S. Hemawathy; S. Thinesh dan S. Suman ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Sebang Gemilang, Alor Gajah. PEMBERITA-MOHD AIMY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Membesarkan tiga orang anak berstatus orang kurang upaya (OKU) bukan tugas mudah, apatah lagi si suami pula lumpuh separuh badan, tetapi semua itu ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Ketabahan seorang ibu, P. Santhi, 52, bermula sejak tiga dekad lalu apabila anak sulungnya, S. Suman, 30, menghidap demam panas ketika lahir menyebabkan tumbesarannya terjejas.

Selang setahun, anak keduanya, S. Thinesh, 29, berdepan situasi sama sebelum adik perempuan mereka, S. Hemawathy, 27, juga disahkan menghidapi penyakit berkenaan.

Dugaan tersebut tidak terhenti di situ apabila suaminya, S. Subramaniam, 57, pula lumpuh separuh badan sejak 2015 sehingga terpaksa berhenti kerja di ladang.

Mujur, anak bongsu pasangan itu, S. Pavithra, 20, dilahir dan membesar secara normal dan banyak membantu keluarga dengan bekerja sebagai pembantu klinik di Tampin, Negeri Sembilan.

“Saya anggap ini semua adalah ujian Tuhan yang perlu diterima dan ditempuh kerana saya percaya akan ada hikmah dan ganjaran hebat di sebalik dugaan itu.

“Selama 26 tahun saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank di Tampin, kini Pavithra pula mengambil peranan menyara keluarga setelah saya berhenti beberapa tahun yang lalu,” katanya yang menetap di Taman Sebang Gemilang, di sini.

Santhi berkata, dia tersentuh dengan pengorbanan anak bongsunya itu yang terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pengajian sebaik tamat tingkatan lima.

“Pada setiap pagi juga, Pavithra akan membantu saya memandikan kedua-dua abang dan kakaknya malah dia juga rajin menyediakan masakan kepada mereka sebelum ke tempat kerja.

“Kadang kala setiap malam saya menangis seorang diri mengenangkan nasib, namun saya sedar dan bersyukur bahawa inilah ujian yang perlu dihadapi,” katanya.

Mengenai sambutan Deepavali, Santhi berkata, mereka hanya menyambut secara sederhana seperti kebiasaan lebih-lebih lagi ketika meraikan dalam keadaan norma baharu bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

“Tidak mengapalah jika tahun ini tidak meriah, kita korbankan masa tahun ini kerana tahun-tahun akan datang pun boleh disambut lagi dengan lebih meriah asalkan kita semua terhindar daripada wabak ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya