Keseronokan laga ayam bertukar cemas - Utusan Malaysia

Keseronokan laga ayam bertukar cemas

Sebuah lokasi di Kangkar Pulai yang menjadi lokasi aktiviti perjudian laga ayam di ladang kelapa sawit yang diserbu pihak polis Ahad lalu. -UTUSAN/ MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Keseronokan 40 individu yang leka bermain judi laga ayam dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai di sini terbantut apabila diserbu polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang, polis berjaya memberkas 25 individu berusia antara 23 hingga 62 tahun termasuk dua wanita. 

Katanya, malah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri juga berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dipercayai penganjur judi ayam tersebut. 

“Siasatan awal mendapati ladang kelapa sawit itu dijadikan sebagai markas perjudian ayam laga sejak sebulan lalu. Masa operasinya hanya pada hari Ahad sahaja. 

“Kegiatan ini dapat dikesan hasil risikan sejak tujuh hari yang lalu. Bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa, markas judi laga ayam itu dibuat di kawasan hutan, kira-kira satu kilometer dari jalan utama.

“Ketika serbuan dibuat, kesemua yang terlibat melarikan diri melihat kehadiran pihak polis hingga ada yang terjun ke dalam paya berhampiran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Dzulkhairi berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 10 warga Indonesia, empat pemegang status penduduk tetap (PR), sembilan lelaki dan dua wanita tempatan didapati negatif ujian saringan air kencing.

Katanya, polis turut merampas 13 ekor ayam, tiga kanvas khemah, sebuah tong gas, satu gelanggang ayam, lima buah kerusi plastik, sebuah meja, sebuah set janakuasa elektrik dan wang taruhan RM 7,307.

“Difahamkan nilai taruhan bagi judi laga ayam boleh mencecah RM500 dan harga seekor ayam laga yang digunakan dianggarkan bernilai hingga RM5,000. 

“Kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44  (1)(b) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. 

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1)(C)  Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 44 ( 1) (b) Akta Binatang 1953.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN