Kesan tumpahan minyak di pantai Paramount tidak serius - Utusan Malaysia

Kesan tumpahan minyak di pantai Paramount tidak serius

Ketua Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Bayan Baru, Ramli Manap (kanan) memantau pegawainya melakukan tinjauan menggunakan dron di kawasan tumpahan minyak di pesisir pantai Paramount, Georgetown, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Siasatan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kejadian tumpahan minyak di sepanjang pantai Paramount, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini mendapati kesan pencemarannya tidak serius dan minimum.

Ketua JAS Cawangan Bayan Baru, Ramli Manap berkata, pemantauan pihaknya menggunakan dron sejauh lebih satu kilometer dari pesisir pantai itu semalam juga tidak menemukan tompok tumpahan minyak di kawasan laut.

Ujarnya, JAS juga sudah mengambil sampel air laut kelmarin sebaik sahaja menerima laporan berhubung pencemaran itu dengan hasil ujiannya dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu.

“Pemantauan kita mendapati tumpahan minyak di pesisir pantai ini sudah hilang dan ini menunjukkan kesan pencemarannya sangat minimum.

“Sehubungan itu, para nelayan di sini tidak perlu risau dan boleh turun menangkap ikan seperti biasa dan orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana hasil laut dari pantai ini masih boleh dimakan serta tidak beracun,” katanya

Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai sekumpulan pegawai JAS meninjau lokasi tumpahan minyak menggunakan dron di pesisir pantai Paramount, di sini semalam.

Sementara itu, pemangku Ketua Persatuan Nelayan Paramount, R. Selvaraju, 63, berkata, para nelayan di kawasan tersebut masih bimbang dengan kesan pencemaran akibat tumpahan minyak tersebut.

Ini kerana, ujarnya, meskipun tompok-tompok minyak di pesisir pantai itu sudah tidak lagi kelihatan, namun minyak tersebut masih boleh kelihatan di dalam pasir selain turut menyebabkan bau minyak yang kuat.

“Disebabkan itu juga, saya serta beberapa nelayan lain membuat keputusan tidak turun ke laut sejak dua hari lalu kerana bimbang hasil tangkapan beracun sekali gus membahayakan pengguna,” katanya.

Dalam masa sama, Selvaraju berharap pihak berkuasa terlibat dapat membersihkan kesan-kesan tumpahan minyak yang masih ada di pesisir pantai itu dengan segera bagi mengelak kesan lebih buruk.

“Kita bimbang jika kesan tumpahan minyak ini masih ada boleh menjejaskan hidupan laut apatah lagi kawasan pantai ini kaya dengan hasil ketam dan udang,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya