PUTRAJAYA: Perkembangan kes positif Covid-19 kembali melonjak ke empat angka semula iaitu merekodkan 1,304 kes dan negeri-negeri di Lembah Klang termasuk Negeri Sembilan mencatatkan 650 kes lebih tinggi berbanding Sabah 556 kes.
Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 567 kes iaitu peningkatan sebanyak 2.5 kali ganda berbanding 224 kes positif semalam sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 45,095 kes, manakala jumlah kes aktif dengan keboleh jangkitan adalah 11,822 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes positif pada hari ini melebihi jangkaan jika mengikut unjuran R Naugt (R0) pada kadar 1, iaitu sepatutnya mencatatkan 973 kes.
Beliau berkata, terdapat satu kematian direkodkan selain pertambahan empat kluster baharu iaiatu Kluster Bonggaya di Sandakan, Sabah (46 kes), Kluster Jambatan B juga di Sandakan (53 kes), Kluster Abell di Kuching, Sarawak (14 kes) dan Kluster BMU di Jasin, Melaka (10 kes).
“Sebanyak 65 kluster daripada 158 kluster aktif adalah berkaitan tempat kerja termasuk dua kluster baharu hari ini. Sebanyak 5,681 kes positif dalam kluster tempat kerja melibatkan 3,369 warganegara dan 2,312 bukan warganegara.
“Ini adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja-pekerja mereka. Namun, warga pekerja diseru untuk mematuhi prosedur amalan standard (SOP) di tempat kerja termasuk menjaga kebersihan di kawasan penginapan dan tempat tinggal,” katanya.
Noor Hisham berkata, pada masa ini terdapat 158 kluster masih aktif dengan 47 kluster ada pertambahan kes, dengan 136 ditamatkan termasuk tiga kluster hari ini iaitu Kluster Selasih, Kluster Bah Pengkalan dan Kluster Bah Pasir.
Menurut beliau, perkembangan kes positif di negeri-negeri lain pula, Selangor merekodkan (361 kes), Kuala Lumpur (201 kes), Negeri Sembilan (83 kes), Pulau Pinang (42 kes), manakala Sarawak, Perak dan Melaka (13 kes).
Selain itu, katanya, Kedah dan Kelantan mencatatkan lima kes, Labuan (empat kes), Johor (tiga kes) dan Putrajaya (satu kes).
“Sehingga kini, terdapat 96 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 39 kes memerlukan bantuan pernafasan selain bilangan sembuh merekodkan 900 kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE