Kes ingkar tidak memakai pelitup muka terus bertambah - Utusan Malaysia

Kes ingkar tidak memakai pelitup muka terus bertambah

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah individu yang ditahan pihak polis kerana kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara semalam terus catat pertambahan.

Malahan kesalahan tidak memakai pelitup muka juga merekodkan peningkatan kes daripada sejumlah 308 individu yang dicekup pada hari ke-255 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah berkenaan, seramai 290 individu telah dikenakan kompaun manakala baki 18 pula direman.

“Kesalahan tertinggi masih dipegang kes tidak memakai pelitup muka iaitu 84, diikuti 78 kerana gagal sedia peralatan merekod butiran diri dan 73 pula penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau menambah, 28 kes kerana cubaan rentas daerah atau negeri PKP Bersyarat tanpa kebenaran, 23 kes aktiviti pusat hiburan dan 22 kes melibatkan pelbagai kesalahan lain.

Menyentuh kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng, semalam, Ismail Sabri memaklumkan seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di seluruh negara.

Sebanyak 275 sekatan jalan raya dilaksanakan dan beliau meminta orang ramai agar segera hubungi hotline National Task Force di talian 011-6251 1223 jika ada maklumat PATI.

“Operasi sanitasi awam di bawah kawal selia pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga melakukan sebanyak 11,957 tugasan merangkumi 137 zon,” jelas beliau.

Paling banyak dibuat di Sabah iaitu 11 operasi diikuti Melaka dan Pahang masing-masing lapan operasi, selain lapan negeri lain serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Beliau turut memaklumkan seramai 461 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam dan kesemuanya dikuarantin wajib di stesen ditetapkan seluruh negara.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 10,813 individu yang melibatkan 76 buah hotel dan 18 premis lain termasuk institusi latihan awam dan pusat pengajian tinggi swasta.

“Sementara itu, 405 individu yang pulang dari luar negara telah dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 64,775 individu lagi dibenarkan pulang ke rumah,” kata Ismail Sabri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN