PONTIAN: Persatuan Penulis Negeri Johor digesa menjalin kerjasama dengan Akademi Pegawai Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS) bagi membantu memperkasa dan meningkatkan kemahiran pegawai tadbir di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pengalaman dimiliki ahli persatuan itu dilihat berupaya memberi manfaat kepada pentadbiran negeri dalam jangka masa panjang.
“Jika persatuan dapat menjalinkan kerjasama secara langsung dengan akademi ini, saya amat yakin dan percaya bahawa peranan dan matlamat kewujudan akademi ini akan menjadi lebih mantap.
“Kerjasama ini akan membantu kita melahirkan lebih ramai pegawai kerajaan yang mempunyai kemahiran dan profesionalisme lebih baik, selari dengan hasrat penubuhan akademi berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Johor Kali ke-43 di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, di sini semalam.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh kepada persatuan dalam memastikan perkara itu berjaya direalisasikan.
“Kita akan beri sepenuh kerjasama supaya kelebihan yang ada di bawah Persatuan Penulis Johor digabungkan dengan matlamat dan hala tuju Akademi JCS ini.
“Secara tidak langsung ia akan menjadi satu kekuatan yang akan dapat kita gemblengkan untuk manfaat bersama rakyat Johor,” katanya lanjut.
Sementara itu, Hasni turut mengumumkan kerajaan negeri akan mengurniakan sebidang tanah kepada Persatuan Penulis Negeri Johor untuk membangunkan ibu pejabat mereka sebagai penghargaan kepada usaha dalam bidang kesusasteraan selama ini. – UTUSAN ONLINE