Kerajaan terus fokus pulih ekonomi - Utusan Malaysia

Kerajaan terus fokus pulih ekonomi

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus tetap memberi fokus kepada usaha pemulihan ekonomi walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini diramal berlaku penguncupan.

Jaminan itu diberikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi kenyataan sebagai mengulas laporan pertumbuhan suku ketiga KDNK hari ini.

“Kerajaan juga peka tentang perlunya memastikan golongan rentan dan golongan rentan baharu terus dijaga, serta memastikan perniagaan khususnya mikro betul-betul disokong.

“Kerajaan tetap fokus Strategi 6R (Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalize dan Reform) bagi memulihkan ekonomi terutama tatkala semakin hampir ambang 2021,” katanya.

Tengku Zafrul menambah, matlamat itu boleh dicapai melalui unjuran peningkatan permintaan global, persekitaran kadar faedah lebih rendah serta perbelanjaan sektor awam dan swasta

Pelbagai dasar kerajaan turut dapat memberi sokongan malah ujarnya, kunci pemulihan itu hasil daripada Belanjawan 2021 yang baru dibentangkan beliau, bakal menjana pemulihan.

“Ia langkah komprehensif bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi melalui pelbagai langkah jangka pendek dan sederhana,” tegasnya.

Justeru Tengku Zafrul optimis, Belanjawan 2021 itu diharap mewujudkan 500,000 pekerjaan baharu dan pada masa sama, memastikan sektor tertentu mengekalkan kapasiti sedia ada.

Seterusnya jelas beliau, langkah jangka panjang akan meletakkan batu asas untuk daya tahan dan pertumbuhan masa depan, seperti meningkatkan kesalinghubungan digital dan fizikal.

“Kerajaan juga ‘melabur’ dalam pendidikan dan prinsip kelestarian, selain pendekatan lebih bersasar, bertujuan untuk mengimbangi matlamat perbelanjaan dan disiplin fiskal,” katanya.

Matlamat Belanjawan 2021 katanya, sebenarnya bagi mengurangkan jurang pembangunan desa-bandar serta menjunjung tinggi nilai dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Beliau menambah, walaupun KDNK negara dijangka mencatat penguncupan sebanyak 4.5 peratus pada 2020, ia dijangka pulih pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus pada tahun depan.

“Unjuran ini adalah lebih kurang selaras dengan ramalan dibuat pihak Bank Dunia sendiri iaitu 6.3 peratus selain S&P (7.5 peratus) dan Moody’s (kurang 7 peratus),” jelas Tengku Zafrul lagi

Kerajaan ujarnya, optimis namun tetap berwaspada dan komited bagimemastikan ruang fiskal cukup menangani cabaran masa depan kerana asas sistem ekonomi Malaysia adalah kukuh.

Meskipun ada berbagai cabaran, kerajaan akan terus menyokong rakyat demi memastikan ekonomi negara akan melonjak semula apabila ekonomi global pulih pada tahun 2021 kelak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya