KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN ) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai lemah dan tidak mampu memberi tumpuan serta gerak kerja demi kepentingan negara mahupun rakyat.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana PN tidak mempunyai majoriti sebagaimana beliau ketika menjadi Perdana Menteri keempat iaitu majoriti dua pertiga.
Malah beliau mendakwa pentadbiran kerajaan PN menggunakan wang membeli wakil rakyat bagi menjatuhkan kerajaan .
“Kerajaan ini terlalu lemah kelebihan ada satu dua orang sahaja. PN boleh tumbang bila-bila masa andai ada wakil mereka yang ‘senak perut’. Apabila lemah tidak boleh menjayakan kerja dengan sempurna. Dulu waktu saya PM saya ada dua pertiga di belakang saya.
“Orang macam ini (Muhyiddin) fikir bagaimana mahu kekalkan diri. Bukan soal negara. Apa idea yang datang daripada Muhyiddin sejak dia jadi PM ? ” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani semalam.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, beliau akui ada menerima tawaran bagi menyertai PN sebelum ini.
“Tapi saya kata kena syarat .Mereka nak saya sertai mereka namun saya dapati banyak yang tidak kena. Kerajaan ini lebih kurang sama dengan Najib. guna duit beli wakil rakyat jatuhkan kerajaan. Itu saya tak terima.
“Bila cadang ‘buat’ PN mereka jemput saya. Suruh jadi ketua juga. Saya tidak mahu kerana saya dapati dalam gabungan ada UMNO dengan semua enam orang penjenayah . Jadi saya tidak mahu dapat sokongan dengan enam orang ini,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE