TANJONG KARANG: Kerajaan negeri dicabar untuk memberi air percuma sekurang-kurangnya bagi tempoh sebulan kepada rakyat susulan kekerapan gangguan bekalan air yang menimpa rakyat Selangor.
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, masalah gangguan air yang berlaku di Selangor bukan perkara luar biasa dan rakyat sudah muak.
Menurut Noh, gangguan bekalan air bukan salah rakyat dan kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dengan memberikan bekalan air percuma terutama dalam keadaan rakyat berdepan pandemik Covid-19.
“Sekiranya rakyat tidak membayar bil air, mereka laju sahaja mengambil tindakan dengan mengambil tindakan pemotongan.
“Ini salah kerajaan negeri, ketegasan tiada dan akhirnya rakyat menderita. Kalau undang-undang pun tiada penguatkuasaan lebih baik tiada perkara tersebut,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Parlimen Tanjong Karang di Dewan Kuil Bukit Belimbing di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 1,125 kaum India di Parlimen Tanjong Karang menerima sumbangan berupa barangan keperluan seperti beras, bihun, serbuk kari, minyak, susu dan gula.
Dalam pada itu, Noh yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, tiada masalah sekiranya kerajaan negeri mahu mengambil tindakan terhadap semua kilang-kilang tersebut.
Jelasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat tanah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu bekerjasama dalam menangani masalah tersebut daripada terus menjadikan rakyat sebagai mangsa.
“Contohnya, pejabat tanah perlu periksa adakah kilang tersebut dibina atas tanah industri atau pertanian manakala bagi PBT pula periksa sama ada mengikut undang-undang dan kelulusan.
“Seterusnya mereka membawa JAS untuk melihat adakah premis tersebut memberi kesan kepada alam sekitar. Sekiranya terdapat unsur seperti ini, tindakan boleh diambil.
“Oleh demikian, tiada halangan untuk kerajaan negeri mengambil tindakan kepada kilang-kilang ini. Ini tidak, kalau hendak robohkan rumah, laju semu pihak ini datang,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE