IPOH: Pembangkang mempertikaikan kenyataan berbeza di antara Setiausaha Kerajaan Negeri dan Datuk Bandar Ipoh mengenai pemasangan bendera negeri di premis perniagaan dan persendirian sempena sambutan ulang tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Jumaat ini.
Pada 30 November lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam kenyataan berkata, tiada denda dikenakan jika tidak mengibarkan bendera negeri.
Kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) sebelum itu bahawa tindakan kompaun akan dikenakan jika tidak mematuhi arahan mengibarkan bendera negeri.
Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tidak ada sebarang kenyataan oleh pihak kerajaan, termasuk Exco kerajaan tempatan mengenai dua kenyataan berbeza itu.
“Perkara ini memberi imej yang tidak baik terhadap pentadbiran negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar.
“Ia satu petanda betapa kerajaan negeri, sebagaimana kerajaan Persekutuan, sibuk dengan konflik dalaman dan hidup mati mereka.
“Perkhidmatan awam jelas tidak dipimpin oleh pimpinan politik sebagaimana sepatutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, bagi rakyat biasa khususnya pemilik premis perniagaan, kenyataan berbeza tersebut perlu dilihat dalam konteks undang-undang, khususnya bidang kuasa dan penguatkuasaan.
Beliau menyeru rakyat negeri Perak untuk mengambil sikap prihatin terhadap apa yang berlaku.
“Negeri ini adalah hak rakyat, bukan segelintir ahli politik yang hanya peduli nasib dan kedudukan mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE